Cabaran ibu bentuk generasi bertakwa

Oleh Dr Azma Mahmood

Negara jadi makmur, aman sentosa jika semua anak dapat didikan sempurna dari rumah

SEBENING titisan embun pagi, secerah sinarnya mentari. Bilaku tatap wajahmu ibu, ada kehangatan di dalam hatiku. Air wuduk selalu membasahimu, ayat suci selalu dikumandangkan. Suara lembut penuh keluh dan kesah, berdoa untuk putera puterinya.”

Sebahagian lirik daripada lagu Ibu oleh Sakha penyanyi seberang, membuat hati semua ibu tersentuh. Jika boleh, semua ibu mengimpikan anak yang mengenang budi dan berbakti kepada orang tua.
Jauh di sudut hati kita bertanya diri, apakah tanggapan anak kita terhadap diri kita? Adakah kita dikenang oleh anak seperti dalam lirik di atas?

Saodah Hassan menulis dalam bukunya bertajuk: Ibu: Tanggungjawab, Pengorbanan dan Cabaran, “Ibu adalah wanita yang dimuliakan Allah sebagaimana tercatat dalam kitab suci al-Quran. Bila disebut ibu, ia adalah seorang wanita, kiranya wanita itu baik, maka baiklah sesuatu keluarga dan jika keluarga itu baik, maka baiklah masyarakat, jika sesuatu masyarakat itu baik maka sesebuah negara akan jadi baik.”

Sebenarnya penulisan di atas adalah maksud daripada hadis popular yang menekankan pentingnya pengaruh ibu dalam menentukan berjaya atau gagalnya sesebuah keluarga, masyarakat, negara dan dunia.

Negara malah dunia menjadi makmur, aman sentosa apabila memiliki ibu berkualiti. Dunia ideal yang tidak ada anak merempit, ketagih ganja dan syabu, lari dari rumah seperti yang kita dengar dan lihat hari ini baik di akhbar, majalah, radio, TV mahupun internet.
Teringat pula kepada Maryam, ibu Nabi Isa yang diabadikan kisahnya dalam al-Quran yang bermaksud: “Dan ingatlah (wahai Muhammad) ketika malaikat berkata: Wahai Maryam, sesungguhnya Allah telah memilihmu dan mensucikanmu, dan telah memilihmu untuk beroleh kemuliaan melebihi perempuan seluruh alam yang sezaman denganmu. Wahai Maryam, taatlah kepada Tuhanmu (Allah), dan sujudlah serta rukuklah (mengerjakan sembahyang) bersama orang yang rukuk.”

Ciri apakah yang ada pada Maryam sehingga dia dipilih Allah? Tentu sekali kerana ketakwaannya serta kekuatan ibadatnya kepada Allah. Begitu juga ibu Nabi Musa, Khadijah, Fatimah binti Rasulullah SAW, Asma’ binti Abu Bakar dan wanita Muslimah lain yang dikenang sejarah. Semua mereka memiliki ciri ketakwaan unggul.

Ibu yang patuh kepada perintah Allah dan Rasulullah SAW serta menghayati ajaran Islam sudah tentu ciri itu diikuti anak mereka. Mereka melahirkan pemimpin dunia yang agung dan dikenang sepanjang zaman.

Ramai ibu hari ini berjaya menghasilkan jutawan, tokoh akademik, doktor, jurutera dan profesional pelbagai bidang. Apakah ini kayu ukur sebenar kejayaan seorang ibu? Kerana kita akan bertanya balik, berapa ramaikah anak yang berjaya ini menjadi penjenayah kolar putih, kolar biru dan berapa mensia-siakan hidup mereka.

Nilai kejayaan dan kecemerlangan ibu perlu dilihat daripada kejayaan anak yang pintar ilmu, emosi dan spiritual. Satu nilai yang mengambil kira nilai dunia dan akhirat ialah takwa.

Jika anak itu menjadi pekerja tidak kira berpangkat atau sebaliknya, biarlah mereka menjadi pekerja yang bertakwa kerana ia adalah kejayaan buat ibunya.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya yang paling mulia antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa.” (Surah al-Hujurat, ayat 13)

Cabaran besar buat diri kita dan ibu hari ini adalah untuk menetapkan sasaran supaya anak yang menjadi generasi pewaris membesar menjadi anak bertakwa. Bukan saja yang soleh tetapi juga mengajak orang lain melakukan amal soleh.

Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya berjayalah orang yang menyucikan jiwanya dan hampalah orang yang mengotorinya.” (Surah As-Syams, ayat 9-10)

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Ketahuilah dalam tubuh ada sesuatu yang kalau baik, baiklah seluruh tubuhnya; kalau jahat, jahatlah seluruh tubuhnya. Itulah kalbu.” (Hadis riwayat Muslim)

Hati adalah tempat tumbuhnya segala sifat positif seperti ikhlas, jujur, berani, benar, berkasih sayang dan warak. Sebaliknya, hati juga tempat menyuburkan sifat negatif seperti mementingkan diri, tamak, pengecut, benci serta dendam.

Persada zaman menampilkan ibu sejati dan mithali, Asma’ binti Abu Bakr yang mendidik jiwa anaknya Abdullah ibnu Zubair menjadi seorang berani bersuara dan panglima dalam jihad. Jawapan Abdullah ibnu Zubair kepada Khalifah Umar al-Khattab ketika ditanya kenapa kanak-kanak lain lari apabila bertembung dengan Umar ialah: “Ibu kita mengajar supaya takut pada Tuhan saja, bukan pada manusia.”

Pada usia tua, ketika melihat Abdullah ibnu Zubair diseksa oleh Hajjaj, Asma’ masih mampu menyuburkan jiwa Abdullah dengan kata-kata semangat: “Kambing yang disembelih tidak akan terasa kulitnya dilapah.”

Kejujuran sikap Syeikh Abdul Qadir al-Jailani (ketika remaja), tanpa takut bercakap benar kepada perompak. Beliau menjawab soalan perompak yang menawannya mengenai wang yang banyak dalam poketnya.

Ketika ditanya oleh perompak mengapa beliau memberitahu mengenai wang 40 dinar itu beliau menjawab: “Ibuku selalu berpesan supaya sentiasa berkata benar walau dalam keadaan apa sekalipun. Dan aku takut untuk menderhakai perintahnya.”

Oleh itu, ibu moden perlu jelas dengan ukuran kejayaan dan memastikan anak berjaya menunjukkan ciri kejayaan sebenar. Piawaian kejayaan kita hendaklah berdasarkan nilai ukuran yang ditetapkan Allah antaranya:

  Orang yang mengenal Allah sebagai Tuhannya dan bersungguh-sungguh taat serta mengabdikan diri dengan tulus dan istiqamah.

  Orang yang berani dan berjaya menemukan kekurangan dirinya lalu dengan bersungguh-sungguh dan gigih memperbaikinya

  Orang yang berjaya mengembangkan potensi positifnya hingga hidupnya kian hari kian bermanfaat kepada sesama manusia dan makhluk lainnya.

  Orang yang akhir hayatnya husnul khatimah , iaitu matinya penuh kemuliaan di jalan yang diredhai Allah.

Kata-kata hikmat bahawa ‘tangan yang menghayun buaian itu boleh mengubah dunia’ mengajak kita ibu berazam untuk menjadi ibu mithali yang akan mencorakkan generasi unggul pernah disaksikan sejarah suatu ketika dulu.

Hari ibu tahun ini usah ditanya apakah hadiah yang akan kita terima daripada anak tetapi kita tanyakan diri kita apakah ‘hadiah’ kita kepada anak dan sediakan apakah jawapan yang akan diberikan kepada Allah.

Penulisan disediakan pensyarah di Institut Pengajian Islam Bangi dengan kerjasama wanita JIM yang boleh dihubungi di emel wanitajim0@yahoo.com

Sumber: Berita Harian, 9hb Mei 2008 

Bahan dari website JIM – Artikel pilihan bertarikh : 2008-05-09

Tinggalkan komen

Tiada komen.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s