Menjernihkan Pencemaran Iklim Politik Negara

Posted on Jan 06, 2008

Oleh Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Sekali lagi saya akan memperkatakan tentang politik. Namun sebelum pena ini terus bergerak menuju sasarannya ada beberapa perkara mesti dijadikan pendahuluan awal agar prasangka dan prajudis sesetengah pihak dapat ditangkis. Ini kerana politik apabila menjauhi daerah wahyu sentiasa dibaluti dan dicemari dengan prasangka, buruk sangka, hasad dan keceluparan. Maka pertama; -sehingga tulisan ini ditulis- saya tidak mempunyai sebarang hasrat menjadi ahli politik.

Justeru itu, apabila saya memperkatakan tentang politik, tidaklah saya mempunyai sebarang tujuan melainkan melakukan pembaikian suasana. Prasangka politik hendaklah dihilang dalam hal ini. Bahkan walaupun jawatan Mufti saya telah pun disambung rasmi dengan tempoh yang lebih panjang dan kerjasama yang teramat baik sentiasa diberikan, namun saya sendiri tidak berhasrat untuk berada di atas jawatan ini melebih tahun ini.

Urusan masa hadapan diserahkan kepada Allah setelah merancang dan bertawakkal. Ini mustahak dijelaskan agar tidak ada yang berprasangka adanya nilai ‘mengharapkan sesuatu atau bimbangkan sesuatu’ dalam memberikan pandangan. Apabila saya memperkatakan tentang politik dan selainnya, saya rasa –alhamdulillah- saya bebas dari keadaan tersebut.Saya bertemu ramai golongan muda yang baik keperibadiannya serta memiliki idealisme perjuangan yang boleh dibanggakan. Kadangkala saya katakan kepada mereka, dengan nilai-nilai baik yang saudara miliki, masuk sahaja jadi ahli politik, barangkali saudara boleh menyumbang serta membangunkan umat ini apabila mempunyai ruang kuasa. Saya tahu mereka bukan kelompok ektrimis yang memusuhi sesuatu parti politik dek sebarang semangat ‘politik kesukuan’. Mereka terpelajar dan rasional.

Namun mereka sering membayangkan bahawa betapa politik hari ini dicemari dengan kekotoran akhlak dan budi, penggadaian prinsip, kerakusan memburu harta, dendam kesumat, permusuhan sahabat dan segala macam gambaran yang buruk yang telah terlukis di dada politik kuasa negara kita. Saya sendiri berkenalan dengan banyak orang politik dari berbagai negeri dan peringkat. Saya rasa apa yang mereka bayangkan itu ada benarnya, dan ada juga tokok tambahnya yang melebihi skrip asal. Di samping masih ada bukan sedikit mereka yang mempunyai nilai kesedaran tentang amanah Allah dalam politik kita.

Namun yang penting, ramai golongan yang mempunyai nilai-nilai yang baik enggan menghampiri daerah politik kerana bimbang terpalit dengan kekotorannya yang kelihatannya mendominasi keadaan. Akhirnya segala idealisme dan nilai-nilai baik yang dimiliki hanya menjadi milik peribadi dan umat tidak dapat mengambil manfaat daripadanya.

Saya katakan kepada mereka bahawa apa yang saya lihat dalam nas-nas agama pembaikian atau islah politik paling nyata ianya dilakukan dalam dua bentuk; pertama: membetulkan atau merubah watak ahli politik yang sedia ada daripada nilai-nilai yang buruk atau kurang baik kepada kebaikan, kedua: menyertai sistem politik penguasa agar dapat mengisi jawatan-jawatan penting lalu keburukan dapat dipinggir dan ditajdidkan suasana yang baru yang baik.

Bentuk yang pertama ini telah ditunjukkan oleh al-Quran sendiri apabila Allah menyuruh Musa a.s pergi menemui Firaun di peringkat awal memberikan nasihat yang baik agar dia berubah sikap. Ini seperti firmanNya (maksudnya) “Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya ia telah melampaui batas. Kemudian hendaklah kamu berkata kepadanya, dengan kata-kata yang lembut, mudah-mudahan dia beringat atau takut”.( Taha: 43-44).

Demikian Nabi Muhammad s.a.w ketika menulis surat-surat baginda kepada Maharaja-Maharaja Rom dan Parsi. Ini seperti surat baginda kepada Hercules. Baginda mengutuskan surat seperti berikut: Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang, daripada Muhammad Pesuruh Allah kepada Hercules Pembesar Rom, salam sejahtera kepada sesiapa yang mengikut petunjuk. Seterusnya, aku menyeru kamu dengan seruan Islam, terimalah Islam nescaya kamu selamat. Allah akan memberikan kamu dua ganjaran. Jika kamu enggan, kamu menanggung dosa rakyat bawahanmu. –kemudian baginda menulis firman Allah- (maksudnya):”Wahai ahli kitab, marilah kepada satu kalimah yang sama antara kami dan kamu; Iaitu kita semua tidak menyembah melainkan Allah, dan kita tidak sekutukan dengannya sesuatu jua pun; dan jangan pula sebahagian dari kita mengambil sebahagian yang lain untuk dijadikan orang-orang yang dipuja selain dari Allah”. Kemudian jika mereka (ahli kitab itu) berpaling (enggan menerimanya) maka katakanlah kepada mereka: “Saksikanlah bahawa sesungguhnya kami adalah orang-orang Islam” –Ali ‘Imran: 64. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jika ini pendekatan utama yang diambil terhadap pemerintah-pemerint ah yang tidak muslim, sudah pasti kepada yang muslim lebih utama untuk dinasihati dan disampaikan dakwah. Daripada Abi Hurairah: Bahawa RasuluLah s.a.w bersabda: “Sesungguhnya Allah meredhai kamu tiga perkara, dan memurkai kamu tiga perkara. Dia meredhai kamu jika (pertama) kamu beribadah kepadaNya dan tidak menyekutukanNya sedikitpun, (kedua) kamu berpegang teguh dengan tali Allah kesemuanya. (ketiga) Kamu menasihati sesiapa yang Allah jadikan dia memerintah urusan kamu. Dia memurkai kamu banyak bercakap (yang tiada faedah), menghilangkan harta dan banyak bertanya (maksudnya pertanyaan yang tidak berfaedah) (Riwayat Malik 2/169).

Bahkan baginda menyebut: “Tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) Bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan ALLAH. (Riwayat al-Bukhari 6/2438 dan al-Nasai 7/158).

Maka perubahan politik boleh dilakukan dengan mempengaruhi pemerintah agar mengubah sikap dan bertindak dengan cara yang baik. Tidak semesti ditukar atau dilantik yang lain. Namun usaha ini memerlukan para pendakwah dan ulama yang ikhlas. Sehingga membolehkan para pemerintah mendengar nasihat yang jujur tanpa kepentingan.

Malangnya, dunia kita ini dipenuhi dengan dua golongan yang menyandarkan diri kepada agama; satunya pengampu pemerintah dan yang satu lagi pencerca pemerintah. Hal ini telah saya lebarkan dalam beberapa tulusan yang lepas. Sedangkan yang diperintah agar seorang pendakwah menjadi penasihat yang jujur dan berpendirian. Namun kejujuran dan pendirian itu hendaklah dipagari dengan kebijaksanaan. Islam yang ada dalam jiwa orang politik negara ini masih besar. Maka ruangan untuk mengajak mereka kembali kepada ajaran Allah dan RasulNya mempunyai peluang yang amat terbuka. Maka nilai-nilai buruk dalam politik yang ada boleh dibaiki dengan kesungguhan dakwah.

Bentuk kedua adalah penyertaan golongan yang memiliki nilai-nilai kepimpinan yang Islamik ke dalam sistem pemerintahan. Dengan cara ini politik yang bersalut segala macam kekarutan dan pencemaran itu agar dapat dibaiki. Hal ini pernah dilakukan oleh Nabi Yusuf a.s.. Firman Allah dalam Surah Yusuh ayat 55-56: (maksudnya): Yusuf berkata: “Jadikanlah aku mentadbir perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya. Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang disukainya. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan”.

Walaupun pada asalnya meminta jawatan politik suatu yang tidak diizinkan oleh syarak seperti yang pernah kita jelaskan, namun jika jawatan tersebut dibiarkan akan menyebabkan ianya dicemari, maka adanya keperluan agar jawatan itu dituntut dan diambil. Nabi Yusuf a.s. meminta jawatan kementerian kewangan negara Mesir ketika zamannya, sekalipun pemerintah Mesir bukan seorang muslim. Namun apabila baginda mendapati adanya ruang untuk melakukan islah atau pembaikian dan menebarkan keadilan serta kebaikan maka baginda meminta.

Saya bertemu dengan berbagai orang yang menyertai politik pemerintah. Mereka memiliki berbagai alasan dalam menyertai politik. Ada pada zahir bicaranya jujur ingin berbakti. Ada yang menjawab bahawa keturunannya ahli politik, maka dia pun kena jadi orang politik. Ada pula yang jawab politik untuk jasa bisnes, kalau tidak susah nak dapat projek. Juga berbagai jawapan yang lain. Namun kita semua merindui jawapan yang menyatakan bahawa penyertaannya ke dalam politik adalah demi menunaikan tanggungjawab Islam. Penyataan itu pula mestilah dapat dilihat kebenarannya pada keperibadian dan keilmuannya.

Jika ada keikhlasan, maka bentuk kedua ini merupakan tindakan paling berkesan yang telah dibuktikan sepanjang sejarah. Lihat Nabi Yusuf a,s, Umar bin ‘Abdul ‘Aziz dan beberapa pemerintah yang lain. Sejarah juga menunjukkan kegilaan menjatuhkan pemerintah muslim secara menyeluruhan dan menaikkan pemerintahan puak atau kumpulan baru secara menyeluruh, ada lah lebih mewakili sifat kerakusan politik dan kegilaan kuasa yang akhirnya akan menghalalkan segala cara. Sejarah Dunia Islam hari ini banyak pembuktiannya.

Jika politik yang menguasai pemerintahan tidak didominasikan oleh golongan yang mempunyai idealisme dan prinsip selaras dengan agama, maka dunia politik kita akan dibelasah oleh ‘tangan-tangan yang entah siapakah gerangan’. Maka jangan kerana melihat pencemaran politik sedikit sebanyak yang ada menyebabkan golongan muda yang berwasasan baik dan jujur terus meminggirkan politik pemerintahan yang akhirnya kita semua bersungut meraba-raba mencari orang baik dalam politik.

Bahkan sebaliknya disebabkan pencemaran yang ada itulah mendesak kita, seperti mana ia pernah mendesak Nabi Yusuf a.s untuk mengambil bahagian dalam pemerintahan. Namun ianya memerlukan anti-biotik yang kuat, jika tidak individu yang ingin mengislahkan keadaan itu akan larut dalam pencemaran. Bimbang dia pulak lebih lajak dari laju. Jangan sampai yang bergelar ilmuan agama hilang ilmunya, ustaz hilang wataknya, dan yang bergelar imam hilang cirinya. Dek penangan harta dan kuasa. Daripada minat agama kepada minat jenama-jenama. Maka terhapuslah agenda islah yang diharapkan.

Sebab itu baginda s.a.w bersabda: “Seorang muslim yang bergaul dengan orang ramai dan bersabar atas kesakitan yang mereka lakukan lebih baik dari seorang muslim yang tidak bergaul dengan orang ramai dan tidak bersabar atas kesakitan yang mereka lakukan. (Riwayat al-Tirmizi dan Ibn Majah dinilai sahih oleh al-Albani). Maka beruzlah meninggalkan orang ramai kerana ingin menjaga diri sendiri semata tidaklah lebih baik dari yang bergaul dan menbaiki keadaan. Melainkan jika dibimbangi kita akan dikuasai oleh keadaan.

Sebenarnya pun dalam politik pemerintahan yang ada bukan langsung tidak ada ruang untuk mereka yang mempunyai perwatakan baik. Bahkan ruang itu masih banyak. Kita ada pemimpin dalam negara ini yang naik dalam setiap pemilihan tanpa memerlukan politik wang dan lobi-melobi secara buruk. Namun dia menang dalam semua episod pemilihan atas wataknya yang dianggap baik dan beragama. Namun, secara umum watak-watak seperti itu tidak dominan dalam politik negara semasa, maka akhirnya kegilaan harta lebih tertonjol yang akhirnya membawa kepada pertarungan sesama sendiri dan jatuh menjatuh yang tidak berkesudahan. Ini terutama apabila negara kita mula mengecap kemewahan dan kesenangan.

Ianya persis seperti kata-kata Saidina ‘Umar -yang saya sebutkan dahulu- ketika harta rampasan Maharaja Kisra Parsi yang begitu banyak dan menakjubkan dibawa kepadanya, maka beliau pun menangis. Lalu ditanya kepadanya: “Apa yang membuatkan engkau menangis wahai Amirul Mukminin, padahal hari ini adalah hari kesyukuran, kegembiraan dan keseronokan”. Jawab ‘Umar: “Tidak ada kaum yang banyak pada mereka benda ini (harta) melainkan Allah campakkan di antara mereka permusuhan dan kebencian” (Musannaf Abi Syaibah 8/147). Inilah yang terjadi jika jiwa tidak didik dan diasuh.

Maka, usaha untuk mendominasikan tokoh-tokoh tajdid atau pembaharuan dalam politik pemerintah mestilah dilakukan dengan digalakkan mereka yang mempunyai nilai-nilai kepimpinan yang berkemampuan dan amanah menyertai kepimpinan politik negara. Mudah-mudahan dengan itu lukisan buruk yang selalu tergambar kepada banyak pihak mengenai dunia politik yang ada dapat dibaiki. Keharmonian politik akan kembali. Politik benci-membenci, dendam mendendami akan diganti. Kepentingan umat akan mendahului segalanya.

Ini kerana kekuatan umat itu berkait dengan iman, kemudiannya persaudaraan dan ketiganya kekuatan persenjataan atau teknologi moden di zaman kini. Maka apalah ertinya negara yang dibina jika warga politik, rakyat dan pemerintahnya tidak habis-habis benci membenci, musuh-memusuhi sepanjang masa. Maka hilanglah iman, hilanglah persaudaraan, akhirnya segala kekuatan akan dikuasai oleh musuh, atau disalahgunakan antara satu sama lain.

Ada orang berkata kepada saya ; membaiki keburukan politik dari dalam sama seperti mencuci tong najis dari dalam. Tak mungkin dapat dicuci, bahkan akan terpalit kepada kita sendiri. Saya bertanya kepadanya : “Parlimen negara ini islamik atau tidak menurut piawaian yang saudara war-warkan itu ?” Jawabnya : “Tidak islamik dan bercanggah dengan Islam”. Saya berkata : “Mengapakah anda menjadi ahli parlimen dan mengangkat sumpah untuk itu ? Tidak itu cuba mencuci najis dari dalam ?!.” Dia diam. Manusia seperti ini tidak boleh diambil kira. Sudahlah piawaian itu salah, falsafahnya juga bercanggah-canggah.

Saya menyeru kepada pengislahan atau tajdid suasana politik dengan dua cara yang disebutkan agar Allah merahmati kita. Firman Allah dalam Surah Yusuf ayat 56-57 : (maksudnya) Dan demikianlah caranya, Kami tetapkan kedudukan Yusuf memegang kuasa di bumi Mesir; dia bebas tinggal di negeri itu di mana sahaja yang dia sukai. Kami limpahkan rahmat Kami kepada sesiapa sahaja yang Kami kehendaki, dan Kami tidak menghilangkan balasan baik orang-orang yang berbuat kebaikan. Dan sesungguhnya pahala hari akhirat lebih baik bagi orang-orang yang beriman serta mereka pula sentiasa bertaqwa.

Tinggalkan komen

Tiada komen.

Comments RSS TrackBack Identifier URI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s